TINDAKAN kerajaan negeri Selangor tidak membenarkan kakitangan dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang berada di bawah ketiaknya untuk menyertai kursus bina insan anjuran Biro Tata Negara (BTN) merugikan rakyat yang cintakan perpaduan di samping menyemai jati diri masing-masing.
Nampaknya Pakatan Rakyat (PR) sudah mula takut bayang-bayang sendiri dan merasakan pemerintahan mereka di negeri Selangor semakin rapuh.
Ahli exco kerajaan negeri itu, Dr. Halimah Ali, sememangnya mempunyai perwatakan berbeza dengan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Hassan Ali, walaupun mereka berada dalam satu parti. Hassan yang pernah menjadi pegawai kanan Kerajaan Persekutuan dan terkenal sebagai pakar motivasi lebih memahami aspek pendidikan remaja berbanding Dr. Halimah yang juga bekas seorang doktor perubatan.
Saya diberitahu oleh beberapa orang anak buah dan kawan-kawan yang belajar serta bertugas di Universiti Industri Selangor (Unisel), Hassan pernah beri khutbah di masjid Unisel tetapi tidak bercakap soal politik sedikit pun, terutama menghentam kerajaan Barisan Nasional (BN).
Begitu juga ketika berucap di hadapan pegawai dan kakitangan Unisel sebelah petangnya langsung sepatah pun tidak menghentam kerajaan BN.
Bagaimanapun Dr. Halimah sering menyindir kerajaan BN apabila beberapa kali diberi peluang berucap di hadapan pelajar Unisel sebelum ini. Beliau berpeluang berbuat demikian kerana kedudukannya yang menjaga hal ehwal pendidikan negeri Selangor.
Oleh itu memanglah tidak hairan jika Dr. Halimah terpengaruh dengan cakap beberapa pelajar yang tidak punya jati diri dan lemah semangat mengatakan Biro Tata Negara (BTN) merupakan agensi yang ditugaskan menyerang parti pembangkang di negara ini.
Saya cadangkan semua exco Melayu kerajaan negeri PR Selangor, terutama Dr. Halimah, dipelawa menyertai kursus BTN dan selepas itu beliau boleh buat analisis dan beritahu modul mana yang menghentam parti pembangkang.
Biasanya pegawai BTN akan memaparkan semua bukti ketika berhujah mengenai sesuatu isu dan kadangkala secara kebetulan turut tersentuh mengenai kelemahan beberapa pemimpin BN.
Nampaknya PR lebih sibuk mengetengahkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan pimpinan BN sebaliknya kelemahan mereka ditutup rapat.
Sejak PR mengambil alih kepemimpinan kerajaan negeri Selangor selepas pilihan raya umum lalu, beberapa pegawai tinggi baru dilantik termasuk seorang Naib Canselor, dua Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan Korporat) dan seorang pendaftar kanan.
Kesemua mereka adalah bekas pensyarah dan pegawai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) milik Kerajaan Persekutuan.
Mereka diberi skim gaji yang tertinggi (sekurang-kurangnya Jusa C) termasuk dibekalkan sebuah kereta baru yang bukan berjenama tempatan.
Kalau dikira gaji, elaun, kos petrol dan seliaan kereta, Unisel terpaksa membayar mereka sebanyak RM1 juta setahun sedangkan sebagai IPTS, jawatan tersebut tidak berapa penting diwujudkan ketika kedudukan kewangan Unisel tidak begitu kukuh.
Tambahan pula, jumlah pelajar yang belajar di Unisel semakin merosot berbanding masa lalu ketika berada di bawah kerajaan BN. Sama ada mereka sedar atau tidak Unisel yang membayar gaji mereka adalah hasil titik peluh pemimpin BN negeri Selangor terdahulu yang berjaya mewujudkan IPTS.
Sampai sekarang tidak sebuah IPTS diwujudkan oleh kerajaan PR yang boleh dibanggakan dan sehubungan itu Dr. Halimah kena buka mata seluas-luasnya.
Pelantikan baru pegawai tinggi Unisel ini sebenarnya berlaku kerana mereka diperlukan untuk menjaga kepentingan kedudukan penasihat PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Pegawai tertinggi Unisel sering bercakap di hadapan pelajar supaya mereka diberi peluang bersuara termasuk soal politik negara sebagaimana yang dilakukan oleh Anwar ketika menjadi pelajar. Mereka berjanji akan membawa tokoh-tokoh tertentu masuk ke Unisel termasuk pemimpin BN. Sebenarnya itu temberang mereka supaya Anwar boleh masuk berceramah jika pemimpin BN dijemput sama secara berasingan.
Inilah politik beberapa pegawai tinggi Unisel baru yang dulunya bekas pensyarah IPTA dan baru menyertai politik setelah bersara. Pembaca sendiri boleh mengagak parti mana yang mereka sokong ketika bertugas di IPTA.
Ketika Unisel berada di bawah kerajaan BN, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo mengarahkan pegawai tertinggi Unisel tidak membenarkan pemimpin politik termasuk parti komponan BN berceramah di universiti berkenaan.
Beliau mahu pelajar Unisel menumpukan pelajaran semata-mata dan bebas daripada unsur-unsur politik yang merosakkan pemikiran pelajar.
Oleh itu mari kita tanya siapakah sebenarnya yang memperalatkan pelajar di negeri Selangor? BN, BTN atau PR yang semakin gayat dan gundah-gelana?
Shah Alam, Selangor
ARKIB : 30/11/2009















